PENAFIAN

SAYA MERUPAKAN SEORANG PLHIV
SAYA BUKANNYA SEORANG KAUNSELOR TERLATIH ATAU DOKTOR PAKAR DALAM BIDANG ID
JAWAPAN DAN KOMEN SAYA BERDASARKAN PENGALAMAN, INGATAN SAYA
SEKIRANYA TERDAPAT KESILAPAN, MOHON DIPERBETULKAN.

Sunday, April 05, 2015

Temujanji Pertama Hari Sabtu

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, bersyukur aku atas kesihatan yang Allah kurniakan kepadaku, umur yang panjang untuk menikmati alam fatamorganaMu ini Ya Allah.

Alhamdulillah, pada 4 April 2015 bersamaan hari Sabtu, aku berjaya menghadirkan diri untuk temujanji bersama doktor di Klinik ID, Hospital Sungai Buloh untuk melihat keputusan ujian darah yang dibuat pada 4 March 2015 yang lalu.

Gembira rasanya kerana telah dapat temujanji pada hari Sabtu. Bukan semua PLHIV yang membuat rawatan di HSB dapat temujanji pada hari Sabtu. Namun hati aku merasa sedikit bimbang akan keputusan ujian darah yang aku akan terima.

Setelah mengambil nombor giliran, aku menunggu di ruang menunggu. Prosedur seterusnya adalah menunggu nombor giliran dipanggil untuk menimbang berat dan mengambil tekanan darah.
Alhamdulillah, berat bertambah sebanyak 2kg menjadikan 75kg. Agak berat juga. Kemudian tekanan darah. Alhamdulillah, tekanan darah aku normal.

Selesai urusan menimbang berat dan mengambil tekanan darah, aku kembali menunggu di ruang menunggu untuk berjumpa doktor pula. Tidak lama kemudian nombor giliran aku dipanggil dan aku menemui doktor.

Alhamdulillah, doktor ceria aku pun ceria. Keputusan aku untuk ujiat darah sebulan sebelumnya adalah seperti berikut:

CD4 : 414
CD4% : 24
VL : Undetecable

Alhamdulillah, syukur VL menunjukkan keputusan yang tetap iaitu undetecable. Namun sedikit kecewa apabila CD4 aku telah turun dari sebelum ini. 692 turun kepada 414. Namun dalam kecewa ada lagi berita gembira apabila doktor menyatakan CD4% aku meningkat dari sebelum ini iaitu dari 22% kepada 24%. Syukur Alhamdulillah.

Sedikit membimbangkan apabila keputusan kolesterol aku agak sedikit tinggi. Doktor menasihati agar aku mengawal permakanan aku dengan mengurangkan pengambilan makanan bergoreng dan cuba-cuba membuat senaman agar kolesterol aku tidak semakin naik. Doktor tidak bercadang untuk aku mengambil ubat kolesterol untuk kali ini.

Ujian darah yang lain juga menunjukkan yang aku tiada masalah lain. Alhamdulillah.

InsyaAllah, bulan 10 nanti temujanji untuk mengambil sampel darah dan bulan 11 temujanji berjumpa doktor pula.

Setakat ini sahaja aku nak beritahu kepada semua.

Sampai jumpa lagi.