PENAFIAN

SAYA MERUPAKAN SEORANG PLHIV
SAYA BUKANNYA SEORANG KAUNSELOR TERLATIH ATAU DOKTOR PAKAR DALAM BIDANG ID
JAWAPAN DAN KOMEN SAYA BERDASARKAN PENGALAMAN, INGATAN SAYA
SEKIRANYA TERDAPAT KESILAPAN, MOHON DIPERBETULKAN.

Friday, October 19, 2012

Perjalanan menuju HAART


Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana memberi ruang kepada saya untuk menikmati kehidupan di muka bumi yang indah ini.

Seperti sedia maklum, bahawa saya sepatutnya memulakan rawatan HAART saya pada 4 Oktober yang lalu setelah bacaan CD4 saya yang terbaru mengalami kejatuhan daripada 419 kepada 292 pada pertemuan bersama doktor pada 19.9.2012. Doktor yang merawat saya telah menyarankan saya mengambil HAART dan saya telah bersetuju untuk memulakan rawatan pada 4.10.2012.

Namun pada 4.10.12, temujanji saya di Hospital Sungai Buloh bersama Pharmacist telah membincangkan mengenai pengambilan HAART ini. Beliau menyarankan agar saya menjalani tempoh percubaan selama 2 minggu dahulu menggunakan pil Vitamin C dan B Kompleks dan mencari masa yang sesuai untuk menelan ubat HAART. Ini kerana menurut beliau, memakan ubat bukan lah semudah A B C kerana ubat HAART perlu diambil secara konsisten dan teratur. Ini memerlukan disiplin dalam diri saya.

Apa yang baik saya ikutkan sahaja kerana mereka lah pasukan pemantau kesihatan saya sekarang. Maka pengambilan HAART saya telah ditunda selama 2 minggu lagi iaitu pada 18.10.2012. Selama dua minggu ini juga saya mencari masa yg sesuai bagi saya menelan HAART nanti. Oleh kerana saya akan mengambil ubat Efavirenz (Stocrin) dan Tenvir-EM yang akan dimakan sekali sehari, maka saya mencari waktu makan yang sesuai antara pukul 11 malam ke 12 malam. Akhirnya saya memilih pukul 12 malam kerana bagi saya ia lebih praktikal kerana tidak terlalu awal dan lewat bagi saya.

Tempoh percubaan 2 minggu pun berakhir, maka saya tiba semula ke HSB untuk temujanji bersama kaunselor untuk memulakan HAART. Alhamdulillah, tiada masalah hari ini 18.10.2012 untuk tiba ke HSB. Jalan tidak terlalu sesak dan tempat letak kereta di HSB senang. Di klinik ID juga pagi ini tidak terlalu sesak seperti kebiasaannya apabila saya hadir untuk temujanji di sini.

Setelah beberapa ketika menunggu, giliran saya menemui kaunselor. Setelah berbincang mengenai waktu memakan ubat yang menjadi pilihan saya iaitu pukul 12 malam. Kaunselor bersetuju dengan waktu pilihan saya dan memberikan nasihat agar saya menjaga dan sentiasa mengambil ubat mengikut waktu yang saya pilih. Sesi penerangan semula ubat HAART yang akan saya ambil mengisi slot terakhir pagi ini bersama kaunselor. Beliau menerangkan kesan-kesan sampingan yang berkemungkinan terjadi dengan pengambilan ubat tersebut. InsyaAllah dengan izinNya kesan sampingan ini tidak terjadi ke atas diri saya.

Oleh kerana sebelum ini saya tidak pernah melakukan ujian viral load lagi, maka saya perlu melakukan ujian tersebut melalui pengambilan sample darah. Ini bagi mengetahui berapakan viral yang terdapat dalam darah saya untuk tujuan pemerhatian doktor nanti. Selesai pengambilan sample darah saya meminta surat rujukan yang menyatakan saya mengambil ubat Stocrin kerana ubat ini akan memberikan bacaan false positive dalam ujian urine test.

Setelah selesai saya pergi ke Farmasi Pesakit Luar untuk menuntut ubat HAART saya. Setelah beberapa ketika menunggu maka saya dipertemukan buat pertama kali dengan ubat saya iaitu Efavirenz (Stocrin) dan Tenvir-EM. Saya di bekalkan dengan ubat sebanyak 34 biji cukup sehingga temujanji saya yang akan datang iaitu pada 21.11.2012. Selesai menuntun ubat saya pun segera meninggalkan hospital untuk pulang kerumah. Maka malam ini, tepat pukul 12 malam 19.10.2012 akan bermulalah episod dan sejarah hidup saya yang baru.

Monday, October 01, 2012

0.5 TAHUN


Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, bersyukur aku kehadrat Illahi kerana masih lagi bernafas di atas muka bumi milikMu Ya Allah,


Antara sedar dan tidak telah 7 bulan aku mengetahui bahawa diri aku adalah seorang HIV positif. Tanggal 1 Mac 2012 merupakan hari bersejarah aku kerana pada malam tersebut aku telah mengetahui bahawa diri aku kini mempunyai virus terkenal iaitu virus HIV. Ku imbas kembali sejarah pada malam tersebut sehingga ianya menjadi sejarah baru hidup ku.


Aku telah membeli  2 set ujian HIV melalui internet dan aku terimanya pada pagi 1 Mac 2012. Pada malam tersebut aku beranikan diri untuk membuat ujian saringan HIV sendirian di rumah aku. Set pertama aku gagal mendapatkan keputusan ujian kerana kesilapan aku dalam melakukan prosedur ujian saringan tersebut. Maka aku ambil pula set ke-2 dan aku mulakan prosuder ujian aku dengan berhati2 dan teliti. Selang beberapa minit keputusan ujian saringan menunjukkan bahawa aku positif.


Sedikit terkejut dan ada sedikit penafian dalam diriku pada ketika itu. Macam-macam perkara bermain dipikiran tetapi aku tidak cepat melatah. Aku mengambil keputusan untuk membuat ujian darah di sebuah klinik swasta untuk aku mendapatkan keputusan secara klinikal. Ujian Elisa.


15 Mac 2012, keputusan ujian darah aku perolehi dari doktor di klinik tersebut. Ya! Aku disahkan sebagai HIV positif. Aku mengambil keputusan untuk membuat ujian susulan iaitu ujian Western Immunoblot pada hari tersebut. Aku amat mengharapkan keputusan ujian ini keluar pada tarikh lahir aku, namun keputusan tiba lewat sehari. Keputusan keluar pada 1 April dan aku mengambilnya pada 2 April. Keputusannya aku memang positif HIV 1


Aku memilih untuk merujuk kes aku ke Hospital Sungai Buloh. Kini 6 bulan berlalu, aku akan memulakan rawatan HAART aku berkemungkinan besar pada 4 Oktober 2012.